27 November 2012

Kewajipan dan kuasa Badan Pengurusan Bersama



Kewajipan dan kuasa badan pengurusan bersama

Kewajipan badan pengurusan bersama adalah seperti yang berikut:

1.      untuk menyenggarakan dan menguruskan dengan sepatutnya bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama, dan menjaganya dalam keadaan yang baik dan pembaikan yang dapat digunakan;

2.      untuk menentukan dan mengenakan caj yang kena didepositkan ke dalam akaun penyenggaraan bagi maksud penyenggaraan dan pengurusan yang patut bagi bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama;

3.      untuk menentukan dan mengenakan caruman kepada kumpulan wang penjelas yang kena didepositkan ke dalam akaun kumpulan wang penjelas bagi maksud membayar perbelanjaan yang sebenar atau yang dijangkakan;

4.      untuk mengambil insurans mengikut Akta ini atau menginsuranskan terhadap apa-apa risiko lain sebagaimana yang diarahkan oleh pemunya petak melalui ketetapan khas;

5.      untuk mematuhi apa-apa notis atau perintah yang diberikan atau dibuat oleh pihak berkuasa tempatan atau mana mana pihak berkuasa awam yang berwibawa yang menghendaki pemberhentian apa-apa kacau ganggu ke atas harta bersama, atau yang memerintahkan pembaikan atau kerja lain yang hendaklah dilakukan berkenaan dengan harta bersama itu atau penambahbaikan lain kepada harta bersama itu;

6.      untuk menyediakan dan menyenggarakan suatu daftar bagi kesemua pemunya petak bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak petak;

7.      untuk memastikan bahawa akaun yang dikehendaki untuk disenggarakan oleh badan pengurusan bersama di bawah Akta ini diaudit dan untuk menyediakan penyata kewangan teraudit bagi makluman kepada anggotanya;

8.      untuk menguatkuasakan undang-undang kecil; dan

9.       untuk melakukan apa-apa benda lain yang suai manfaat atau perlu bagi penyenggaraan dan pengurusan yang patut bagi bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama.







Kuasa badan pengurusan bersama adalah seperti yang berikut:

1.      untuk memungut caj daripada pemunya petak mengikut kadar unit syer yang diumpukkan bagi petak mereka masing-masing;

2.      untuk memungut caruman kepada kumpulan wang penjelas daripada pemunya petak;

3.      untuk membenarkan perbelanjaan bagi menjalankan penyenggaraan dan pengurusan bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama;

4.      untuk mendapatkan daripada mana-mana pemunya petak apa-apa jumlah wang yang dibelanjakan oleh badan pengurusan bersama berkenaan dengan petak itu dalam mematuhi apa-apa notis atau perintah

5.      untuk membeli, menyewa atau selainnya memperoleh harta alih bagi kegunaan pemunya petak yang berkaitan dengan penikmatan harta bersama mereka;

6.      untuk mengambil atau mengatur dan mendapatkan perkhidmatan mana-mana orang atau ejen untuk mengusahakan penyenggaraan dan pengurusan harta bersama bagi bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dengan syarat bahawa jika orang atau ejen itu adalah seseorang pihak ketiga yang bebas, dia hendaklah merupakan seseorang pengurus harta berdaftar;

7.      untuk membuat undang-undang kecil tambahan bagi penyenggaraan dan pengurusan yang patut bagi bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama; dan

8.      untuk melakukan segala perkara yang semunasabahnya perlu bagi pelaksanaan kewajipannya dan bagi penguatkuasaan undang-undang kecil.





Akaun penyenggaraan hendaklah digunakan semata-mata bagi maksud membayar perbelanjaan am atau lazim yang sebenar atau yang dijangkakan yang perlu berkenaan dengan perkara yang berikut:

1.      menyenggarakan harta bersama dalam keadaan yang baik secara hari ke hari;

2.      membayar perbelanjaan yang dilakukan dalam menyediakan perkhidmatan pembersihan bagi harta bersama, perkhidmatan keselamatan dan kemudahan bagi penghuni bangunan;

3.      membayar apa-apa premium bagi insurans atau apa-apa insurans lain yang diluluskan oleh suatu ketetapan khas pada mesyuarat agung;

4.      mematuhi apa-apa notis atau perintah yang diberikan atau dibuat oleh pihak berkuasa tempatan berkenaan dengan pemeriksaan berkala bagi mana-mana bangunan di dalam kawasan pemajuan mengikut cara yang dinyatakan dalam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974;

5.      kerja pengecatan yang kecil pada premis harta bersama;

6.      menjalankan pemeriksaan bagi semua sistem pendawaian elektrik harta bersama itu dan menggantikan atau membaiki mana-mana sistem pendawaian yang rosak, jika ada;

7.      menjalankan pemeriksaan, penyenggaraan dan pembaikan tangki air utama;

8.      membayar sewa dan kadar, jika ada;

9.      membayar apa-apa fi yang dilakukan bagi pengauditan akaun yang dikehendaki untuk disenggarakan oleh badan pengurusan bersama;

10.  membayar semua caj yang semunasabahnya dilakukan bagi pentadbiran akaun yang dikehendaki untuk disenggarakan oleh badan pengurusan bersama sebagaimana yang ditentukan oleh Pesuruhjaya;

11.  membayar saraan atau fi bagi ejen pengurusan yang dilantik;

12.  membayar elaun dan belanja lain bagi anggota badan pengurusan bersama dan anggota jawatankuasa pengurusan bersama mengikut apa-apa kadar yang diluluskan oleh Pesuruhjaya;

13.  membayar apa-apa belanja, kos atau perbelanjaan berhubung dengan pemerolehan perkhidmatan, termasuk pengambilan khidmat pakar runding, fi atau kos guaman dan fi dan kos lain, yang dilakukan dengan sepatutnya atau diterima oleh badan pengurusan bersama dalam pelaksanaan fungsinya dan penjalanan kuasanya; atau

14.  membayar perbelanjaan lain yang bersifat am atau lazim yang berhubungan dengan penyenggaraan dan pengurusan bangunan atau tanah yang dicadangkan untuk dipecah bahagi kepada petak-petak dan harta bersama.

Tiada ulasan: